Monday, August 31, 2009

Anugerah Buku Negara & Konvensyen Buku Antarabangsa 2009

Sidang Media yang diadakan di The Regency Kuala Lumpur

10 Ogos, 2009 19:55 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 31 anugerah bakal menjadi rebutan warga kerja industri buku sempena penganjuran Anugerah Buku Negara 2009 yang akan berlangsung di Galeri Perpustakaan Kuala Lumpur pada 12 Oktober 2009, kata Pengerusi Persatuan Perpustakaan Kuala Lumpur Dato' Matshah Safuan.

Beliau berkata Anugerah Tokoh Perdana akan diberikan kepada individu yang memberi sumbangan penting kepada industri buku di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Kesemua 31 anugerah itu sebagai penghargaan kepada karyawan, penulis, editor, pereka bentuk, ilustrator, seni foto, kedai buku dan aktivis buku negara," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Hotel Regency International di Jala Raja Alang, yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Matshah merupakan Pengerusi Eksekutif hotel itu.

Matshah, yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Anugerah Buku Negara, berkata Anugerah Buku Negara kali pertama diadakan pada 2005.

Anugerah itu dianjurkan Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Perpustakaan Kuala Lumpur serta mendapat sokongan daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Turut diadakan sempena majlis itu ialah Konvensyen Buku Antarabangsa 2009 dari 12 hingga 13 Okt.

Katanya konvensyen itu bertujuan mengenal pasti arah tuju industri buku Malaysia di samping memperkasakan budaya membaca di kalangan masyarakat dan membina rangkaian kerjasama dengan badan-badan profesional buku tempatan dan antarabangsa, khususnya negara jiran.

"Konvensyen akan menyentuh segala aspek dunia perbukuan yang meliputi karyawan, penulis, penerbit, pengedar, penterjemah, kedai buku, perpustakaan, harta intelek dan hak cipta, penganjuran pesta buku, institusi latihan, penyelidikan dan pembangunan dan seterusnya para pembaca buku yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Sebanyak 26 kertas kerja akan dibentangkan dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim serta Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Saifuddin Abdullah merupakan antara pembentang kertas ucaptama.

"Antara tajuk menarik semasa sesi pembentangan kertas kerja ialah daripada mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dato' Dr Hasan Ahmad yang bertajuk 'Membina Peradaban Buku' dan Pengerusi Eksekutif Media Prima Dato' Johan Jaffar yang akan membincangkan tajuk 'Pembacaan: Cabaran Dalam Dunia Digital," katanya.

Sempena penganjuran kedua-dua majlis itu, jualan buku pada harga diskaun sehingga 70 peratus bagi buku baru dan jualan lambak akan diadakan pada 1 hingga 31 Okt di sepanjang Jalan Raja dan Perpustakaan Kuala Lumpur. -- BERNAMA

Sila klik imej.